ANALISIS HALA TUJU PERKEMBANGAN PENDIDIKAN DI MALAYSIA ERA PENJAJAHAN TERHADAP PEMBANGUNAN INSAN DAN NEGARA.
Pendidikan di Malaysia pada era
penjajahan mempunyai tujuan tersendiri bagi membolehkan Inggeris kekal berkuasa
dari segi ekonomi, politik dan juga sosial. Masyarakat di Tanah Melayu terdiri
daripada golongan elit, bangsawan, rakyat pertengahan dan rakyat bawahan semasa
penjajahan Inggeris sekitar tahun 1786 hingga 1957. Ianya kerana Inggeris telah
melaksanakan ‘dasar pecah dan perintah’ yang mempengaruhi pelbagai aspek
seperti perkauman, darjat, pendidikan dan lain-lain. Sekolah vernakular
diperkenalkan tetapi hala tuju atau objektif pendidikan dilihat tidak jelas dan
ia berasaskan kaum serta lokasi sekolah tersebut. Seperti contoh, Sekolah vernakular
Melayu berada di kawasan kampung menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa
penghantar dan sebegitu juga dengan kaum lain. Hasil daripada sekolah
vernakular ini wujudnya sekolah Melayu, sekolah bagi kaum Cina dan India dan
sebagainya.
Sekolah
Melayu mempunyai gabungan pendidikan formal yang menekankan pelajaran membaca,
mengarang, menulis dan ilmu hisab serta pendidikan informal seperti
pertukangan, penternakan dan perkebunan. Menurut Sufean Hussin (1993), “Tujuan
utamanya ialah untuk membakukan ejaan dan sebutan Bahasa Melayu bagi memudahkan
penerbitan surat-surat rasmi kerajaan dan seterusnya bahan-bahan penulisan dan
sastera” (ms. 13). Dalam konteks ini, boleh dilihat bahawa pendidikan itu
penting untuk urusan formal yang menjaga imej individu mahupun secara
keseluruhan serta sumber yang penting dalam membangunkan sesebuah negara. Di
samping itu, kebanyakan sekolah vernakular Melayu juga menerapkan penggunaan tulisan
Rumi dan Jawi. Pada tahun 1871, A.M Skinner telah mengemukakan rancangan
persekolahan dua sesi iaitu pagi dan petang dimana pengajaran al-Quran dilakukan
pada sesi petang (Sufean Hussin, 1993, ms. 12). Majoriti masyarakat Melayu
menerima pelajaran al-Quran dan bahasa Arab di peringkat sekolah hasil daripada
usaha yang berkembang hingga ke hari ini. Ianya kerana kebanyakan sekolah di
Malaysia masih mempunyai sekolah pada sesi petang bagi pelajaran berikut.
Manakala
pula sekolah vernakular Inggeris dibuka untuk golongan elit, bangsawan dan
anak-anak pegawai kerajaan Inggeris. Sekolah ini menawarkan subjek seperti
Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Sejarah Eropah serta menyediakan
pelajaran untuk peperiksaan Cambridge Overseas School Certificate (Zaini
Abdullah, 2021, ms. 22). Sekolah Inggeris menggunakan bahasa Inggeris sebagai
bahasa penghantar dan sekolah-sekolah ini terdapat di kawasan bandar-bandar
utama. Selain itu, terdapat tiga jenis sekolah Inggeris iaitu sekolah Inggeris
yang dibangunkan oleh pendakwah Kristian seperti Katholik, Methodist, La Salle
dan Protestant (Sufean Hussin, 1993, ms. 17). Jenis sekolah Inggeris yang
seterusnya adalah sekolah kerajaan dan sekolah Inggeris persendirian. Dilihat
pembelajaran yang disampaikan oleh sekolah vernakular Inggeris lebih berkualiti
dan dilatih untuk mendapat mobaliti pekerjaan sejurus tamat pengajian. Pada
asalnya, kerajaan Inggeris tidak mahu memberikan pendidikan Inggeris yang
berlebihan kepada golongan bumiputera dan lain-lain atas faktor politik. Namun,
mereka mula mengamalkan dasar terbuka untuk membenarkan anak-anak Melayu menerima
pendidikan di sekolah Inggeris kerajaan pada tahun 1930 untuk melatih tenaga
kerja. Hal ini membuka mata masyarakat untuk mengambil peluang yang lebih baik
bagi menjamin masa depan.
Wujudnya
sistem pendidikan vernakular Cina disebabkan kedatangan orang Cina ke Tanah
Melayu dan Negeri-Negeri Selat. Sekolah vernakular Cina ditubuhkan melalui
usaha orang perseorang yang kaya dan persatuan-persatuan bertujuan untuk
mengekalkan warisan budaya dan bahasa mereka (Sufean Hussin, 1993, ms. 15). Sekolah
Cina yang pertama dibangunkan di Melaka pada tahun 1815 oleh sekumpulan
mubaligh London (Koay, 2003, ms. 26). Kriteria kurikulum bagi sekolah
vernakular ini melebihkan unsur warisan budaya dan bahan-bahan klasik seperti
mata pelajaran Hafalan Klasik Lama dan tulisan Cina. Selain itu, terdapat juga
mata pelajaran lain yang disediakan iaitu Sejarah, Moral dan Ilmu Hisab yang
menggunakan cepua. Menurut Sufean Hussin (1993), “Tidak seperti masyarakat
Cina, masyarakat India di ladang-ladang kurang berminat menubuhkan sendiri
sekolah-sekolah rendah Tamil” (ms. 9). Dalam hal ini, masyarakat Cina dilihat
mempunyai semangat untuk berusaha bagi mengubah nasib dan mementingkan
pendidikan kepada generasi-generasi yang akan datang. Jika dibandingkan dengan
era kini, terdapat ramai masyarakat Cina yang mahir dalam ilmu hisab dan
mempunyai pelajaran yang tinggi.
Penubuhan
awal sekolah vernakular Tamil tidak jauh beza dengan sekolah Cina iaitu berlaku
di Negeri-negeri Selat; Penang Free School pada tahun 1816 dan Anglo-Tamil
School di Melaka pada tahun 1850 (Sufean Hussin, 1993, ms. 16). Namun, bilangan
murid-murid di sekolah-sekolah Tamil ini tidak mendapat sambutan oleh kerana
beberapa faktor seperti tenaga pengajar dan sikap masyarakat yang tidak terbuka
akan pendidikan. Masyarakat India lebih tertarik dengan sekolah-sekolah
Inggeris di bandar memberi kesan kepada jumlah murid di sekolah Tamil. Tidak
dinafikan bahawa sekolah Inggeris memberikan tanggapan profesionalisme dan
berprestij kepada masyarakat di Tanah Melayu ketika itu. Bahkan kualiti
pendidikan dan mata pelajaran yang berbeza dengan sekolah-sekolah vernakular
yang wujud pada era tersebut. Secara tidak langsung, perkara ini menunjukkan
bahawa pentingnya menekankan sistem pendidikan yang bagus dan setanding dengan
sekolah-sekolah lain di Malaysia ini agar sekolah tersebut tidak ketinggalan
dengan sukatan pendidikan terkini.
Oleh
itu, dapatlah disimpulkan bahawa pendidikan ini amat penting bagi masyarakat di
Malaysia. Perkembangan pendidikan yang dilihat dari awal era penjajahan
merumuskan tentang usaha yang dilakukan oleh generasi-generasi terdahulu yang
mementingkan pendidikan membuka mata semua orang untuk mengambil berat akan
mutu pelajaran dan pembelajaran sesuatu mata pelajaran. Sejurus membentuk jati
diri seorang individu untuk menjadi insan yang lebih baik dan berguna untuk
masyarakat dan negara.
RUJUKAN
Sufean Hussin.
(1993). Pendidikan di Malaysia: Sejarah, system dan falsafah. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zaini Abdullah.
(2021). Perkembangan pendidikan di Malaysia. Tanjong Malim: Universiti
Pendidikan Sultan Idris.
Koay, C. L.
(2003). Bab 2: Dasar pendidikan semasa dan selepas pemerintahan British di
Tanah Melayu. Diperoleh daripada http://studentsrepo.um.edu.my/1560/3/BAB_2.pdf.
Comments
Post a Comment