ANALISIS HALA TUJU PERKEMBANGAN PENDIDIKAN DI MALAYSIA ERA SEMASA DAN MASA DEPAN TERHADAP PEMBANGUNAN INSAN DAN NEGARA
Era milenium menyaksikan cabaran yang
bersifat sejagat yang merentasi sempadan geografimahupun sosiologi. Negara
menghadapi cabaran baru kesan daripada globalisasi,
liberalisasi,pengantarabangsaan dan perkembangan pesat dalam bidang sains dan
teknologi. Justeru pelaksanaan pendidikan tidak boleh berada di takuk yang
lama, melainkan perlu kepada pengubahsuaian. Pendidikan dalam era milenium
perlu bercirikan global dan pada masa yangsama tanpa meninggalkan yang asal
yang bersifat local. Pendidikan perlu mampu melahirkan warganegara Malaysia
yang berupaya merancang masa depan mereka, mampu menghadapi cabaran baru, dan
berupaya membuat pilihan dengan bijak, tepat dan sesuai dengan cabaran semasa
yang akan dihadapi. Sehubungan itu Pendidikan perlu dikaitkan dengan senario
semasa dan masa hadapan yang dapat dilihat daripada aliran pembangunan dan
kemajuan teknologi semasa khususnya ICT. Perancangan Pendidikan umumnya perlu
bersifat futuristik, fleksibel, dan dinamik supaya dapat menentukan
corakmasyarakat dan profil bangsa dan warganegara Malaysia yang diharapkan
Seperti yang kita ketahui,
tanggungjawab sistem pendidikan adalah untuk menyediakan generasi muda dengan
pelbagai pengetahuan dan kemahiran supaya mereka dapat menghadapi alam dewasa
dengan berjaya. Dalam konteks menyediakan pendidikan yang ideal, tujuan dan
matlamat pendidikan negara pada abad ini amat jelas sekali iaitu menyusun dan
merancang untuk memperbaiki, memperkukuh dan mempertingkatkan mutu pendidikan
negara sesuai dengan perubahan sosialisasi masyarakat hari ini. Salah satu
unsur yang penting adalah memberikan peluang pendidikan yang adil kepada semua
pelajar tanpa mengira budaya, kelas sosial, kelompok etnik dan cara hidup.
Dalam buku Pembangunan Pendidikan 2001-2010 (KPM, 2001), Kementerian Pelajaran
Malaysia menyatakan bahawa pembangunan pendidikan dari Zaman Dasar Pembangunan
hingga ke Zaman Dasar Wawasan Negara telah berjaya mencapai banyak kemajuan
khususnya dalam penyediaan infrastruktur, kemudahan pendidikan dan latihan
perguruan. Strategi meningkatkan peluang pendidikan berjaya mencapai
sasarannya. Walau bagaimanapun, apa yang dilihat pada masa ini masih terdapat
pelbagai isu yang ditimbulkan berkaitan dengan pencapaian Dasar Pendidikan
Kebangsaan, antaranya perkara berhubung sengan struktur pendidikan; akses
kepada pendidikan; ekuiti; kualiti tenaga pengajar; ketidakseimbangan
penyediaan infrastruktur; Pelaksanaan Program PPSMI; dan kurikulum yang tidak
relevan.
Memasuki tahun 2010, pendidikan di Malaysia juga bergerak seiring dengan
keperluan semasa kerana masyarakat juga berubah disebabkan oleh arus pemodenan
dan globalisasi. Namun begitu, Malaysia masih meneruskan pendidikan lama dengan
mengekalkan Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan
Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT). Isu-isu ini sering diperdebatkan dan
sering kali dipengaruhi oleh politik tanah air sehingga tidak mencapai satu
penyelesaian yang mengubah kepada satu sistem pendidikan yang baru.Isu ini juga
merupakan isu sensitif bagi masyarakat majmuk di Malaysia kerana bukan senang
untuk mencapai kata sepakat dalam menyelesaikan perkara ini. Sistem pendidikan
seperti ini tidak banyak mengubah perpaduan kaum malah dilihat sudah tidak
relevan untuk digunapakai dan sekiranya diteruskan, hubungan antara kaum
menjadi semakin pudar.7
Sehingga kini, masyarakat Malaysia belum
bersetuju untuk melaksanakan sistem pendidikan satu aliran walaupun Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersedia untuk mempertimbangkan perkara
ini. Sekiranya dilaksanakan, kerajaan perlu mengambil kira pandangan dan
persetujuan rakyat berbilang kaum demi untuk mengelakkan berlakunya perbalahan.
Masyarakat Cina dan India dilihat begitu mempertahankan sekolah jenis
kebangsaan bagi memelihara dan menjamin bahasa dan budaya mereka tidak pupus.
Idea pelaksanaan sistem pendidikan satu aliran ini bukan bertujuan untuk
menghapuskan bahasa dan budaya, tetapi untuk memupuk perpaduan kaum yang masih
menjadi masalah utama pendidikan sejak merdeka.Sekiranya sistem ini
dilaksanakan, kerajaan menjamin supaya hak-hak bahasa dan budaya kaum Melayu,
Cina, India dan kaum-kaum lain masih dikekalkan, malah ia akan terus menyemai
perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Isu seterusnya ialah isu pelaksanaan dasar Pengajaran Pendidikan Sains dan
Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilaksanakan pada tahun 2003 di bawah
pentadbiran Tun Dr. Mahatir Mohammad.Tujuan dasar itu dilaksanakan adalah untuk
memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan masyarakat
Malaysia.Namun begitu, setelah tujuh tahun dilaksanakan, dasar ini dimansuhkan
pada tahun 2012 disebabkan timbulnya tentangan daripada pelbagai pihak,
terutamanya orang Melayu. Antara sebab-sebab dasar ini mendapat bantahan ialah
kerana bertentangan dengan Akta 152 Perlembagaan Malaysia,8 prestasi
pelajar-pelajar Melayu dan pelajar luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan
Matematik merosot, kurang guru terlatih dan tentangan daripada pejuang-pejuang
bahasa Melayu, tokoh akademik, ahli politik dan badan bukan kerajaan (NGO).
Selain itu, masalah lain yang timbul ialah
pengisian kurikulum dan aktiviti kokurikulum yang menjadi penentu kepada
perkembangan murid-murid dan pelajar-pelajar (Awang Had Salleh, 1980).Hal ini
penting kerana ia akan memberi kesan, sama ada positif atau negatif dalam
pembentukan jati diri dan disiplin pelajar.Sekiranya pengisian kurikulum dan
kokurikulum relevan dan menepati kehendak masyarakat, maka tidak wujud
masalah-masalah. Tetapi oleh kerana terdapat kelemahan-kelemahan dalam
pengisian kurikulum dan kokurikulm maka wujudlah reaksi-reaksi negatif yang
kita dapat lihat dalam hubungan masyarakat.9 Contohnya, ibu
bapa pelajar-pelajar Cina dan India tidak mahu menghantar anak mereka ke
sekolah kebangsaan kerana tidak menawarkan bahasa Cina dan Tamil sebagai subjek
wajib.Bagi mereka, bahasa ibunda adalah identiti yang harus dipelihara.
Masyarakat perlu memahami bahawa penggubalan kurikulum dan kokurikulum dalam
sistem pendidikan sedia ada adalah berlandaskan kepada keperluan pembentukan
negara Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi yang berbilang kaum, agama dan
menjadikan negara maju ke hadapan.Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan
Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) yang dilaksanakan pada tahun 1983 dan
1989 merupakan kurikulum yang bertujuan untuk menyatupadukan rakyat dan
meningkatkan lagi pendidikan.Namun begitu, usaha untuk menyatupadukan rakyat
masih perlu dipertingkatkan dan perlu penambahbaikan supaya hasrat perpaduan
nasional yang utuh tercapai. Kurikulum baru yang diperkenalkan oleh kerajaan
iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Baru Sekolah
Menengah (KSSM) diharap berupaya untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan
dasar-dasar pendidikan yang terdahulu.
Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh Tun Mahatir Mohammad pada tahun 1991
merupakan perancangan masa depan yang menjadikan Malaysia menjadi negara maju
menjelang 2020.Bagi mencapai tujuan tersebut, pendidikan merupakan faktor
peneraju utama kerana pendidikanlah yang melahirkan generasi muda untuk
mencapai wawasan tersebut.Dalam sektor pendidikan, sistem persekolahan yang
sempurna menjadi pendekatan utama untuk melahirkan masyarakat yang bersatu
padu.Untuk mencapai taraf negara maju, perpaduan dan kemajuan masyarakat elemen
penting untuk memacu kejayaan sesebuah negara.Namun begitu, dengan situasi
masyarakat dan negara sekarang, timbul persoalan dalam persediaan untuk
menghadapinya.
Masalah-masalah yang berkaitan dengan pendidikan bermatlamatkan perpaduan dapat
diringkaskan melalui masalah isu berbangkit mengenai hak bumiputera dan bukan
bumiputera, jurang pencapaian pendidikan antara orang Melayu dengan orang bukan
Melayu melalui pekerjaan dan pendapatan, masalah keciciran pelajar Melayu dan
bukan Melayu, kurang interaksi sosial antara Melayu dan pelajar bukan Melayu
terutamannya selepas waktu persekolahan, kurang memahami sejarah negara dan
kurangnya pengetahuan dan tidak memahami budaya, adat resam dan amalam kaum
lain.
Oleh itu, untuk mencapai matlamat perpaduan negara
yang kukuh, seluruh masyarakkat perlu berganding bahu, seiring dengan usaha
murni kerajaan melalui dasar-dasar dan rancangan baru. Mutu pendidikan yang
sempurna serta hubungan masyarakat yang harmoni menjadi tonggak kejayaan yang
akan menjadikan Malaysia sebuah negara maju.
Rujukan
Mior Khairul Azrin Mior Jamaluddin (2011). Sistem
Pendidikan di Malaysia: Dasar, Cabaran, dan Pelaksanaan ke Arah Perpaduan
Nasional. Jurnal Sosiohumanika. 4(1), 33-48
Comments
Post a Comment